Nuffnang

|home|

Saturday 14 July 2012

Imam al- Syafie (part 1)

Bismillahirahmanirahim....

Sebenarnya hajat saya untuk berkongsi sedikit cerita berkaitan dengan seorang tokoh islam ini telah lama saya pendamkan. Hajat ini datang bilamana saya berada di satu majlis ilmu di sebuah masjid. Penceramah itu bercerita tentang seorang imam yang sangat hebat dan boleh dikatakan orang yang paling alim pada zamannya iaitu Imam al-Syafie. Kemudian penceramah itu bertanya kepada kami semua "Apakah nama sebenar Imam Syafie?". Semua yang ada dalam masjid itu terdiam. Kemudian penceramah itu berkata lagi,"Mana mungkin kamu tidak tahu nama sebenar pengasas mazhab Syafie sedangkan kalian semua menganuti mazhabnya. Tetapi jika saya bertanya "Siapakah artis paling cantik didunia? Siapakah pemenang anugerah oscar 2011?Siapakah pemain bola sepak bergaji paling tinggi didunia?" Sudah pasti kalian semua akan menjawab soalan saya tadi dengan betul dalam tempoh tidak lebih daripada 3 saat. Dalam hati saya,"Ouchhh...Pedihnya.....kemudian saya berfikir, tapi betul juga kata ustaz itu. Kenapa saya ini tidak mengenali nama Imam Syafie sedangkan saya menganuti mazhabnya."



Apabila pulang daripada ceramah itu, saya terus berazam untuk mengetahui segala perkara berkaitan dengn Imam al- Syafie. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris bin Abbas. Beliau dipanggil Syafie kerana wajahnya seiras wajah moyangnya yang bernama Syafie dan moyangnya itu mempunyai wajah yang seiras Nabi Muhammad saw. Salasilah keturunan ayah Imam Syafie sama dengan keluarga Nabi Muhammad saw. Imam Syafie telah dilahirkan oleh seorang ibu yang sangat solehah bernama Ummu Habibah al- Uzdiyyah di tanah Palestine.


Semasa Imam Syafie masih di dalam kandungan, ibunya telah bermimpi melihat sebutir bintang keluar daripada perutnya lalu is naik ke langit. Cahaya daripada bintang itu menjadikan bumi itu terang benderang. Suaminya juga bermimpi kejadian yang hampir sama dengan isterinya.  Satu orang alim telah berkata kepada kedua ibubapa Imam Syafie," Anak yang akan lahir daripada kandungan isteri kamu nanti akan menjadi seorang yang sangat berilmu dan ilmunya memenuhi seluruh muka bumi ini. Oleh itu, jaga dan didklah anak ini dengan baik."


Semasa zaman bayinya, ada beberapa perkara ganjil berlaku antaranya pada siang hari di bulan Ramadhan anak kecil ini tidak mahu menyusu. Dia seolah- olah turut berpuasa dan menghormati ibubapanya yang sedang melakukan ibadah puasa. Apbila ibunya sedang membaca al-Quran,dia akan berdiam diri seolah- olah dia sedang mendengar ayat- ayat suci itu.


Ayahnya meninggal dunia di Palestine semasa umurnya baru sahaja mencecah 2 tahun dan selepas itu dia dibawa ibunya untuk berpindah ke Makkah.  Imam Syafie banyak belajar al-Quran dengan ibunya. Mereka hidup dalam penuh kemiskinan sehinggakan dia tidak mampu pergi ke kelas- kelas pengajian. Selepas umurnya sedikit meningkat, setiap malam dia  akan menghadiri majlis ilmu percuma di Masjidil Haram. Selepas itu, dia menuntut ilmu dengn Imam Ismail Kustantani. Pada awalnya, Imam Kustantani tidak mahu menerimanya kerana umurnya yang masih terlalu muda iaitu 9 tahun sedangkan umur minimum untuk mengikuti kelas pengajiannya ialah 12 tahun. Tetapi setelah dia menguji imam Syafie dengan ayat- ayat al-Quran dan imam Syafie dapat membacanya dengn baik dan sangat lunak bacaannya, die berasa kagum dengan imam Syafie dan terus menerimanya sebagai anak murid. Imam Kustantani berkata kepada imam Syafie,"kelak kamu akan menjadi seorang ulama." Imam Kustantani mempunyai sangat ramai anak murid dan jika dia mempunyai tugasan luar, dia akan menyuruh Imam Syafie menggantikan tempatnya sebagai guru. Subhanallah...Sangat hebat bukan???Cuba kita renung kembali,apa yang kita lakukan semasa kita berumur 9 tahun. Saya pada masa itu setiap petang pasti akan berada di padang bermain bola sepak, menangkap burung di hutan, mandi-manda di sungai dan macam- macam lagi sedangkan Imam Syafie sudah menjadi seorang guru al-Quran yang sangat hebat.


Kemudiannya dia telah pergi belajar bersyair dengan seorang penyair yang hebat iaitu Mas'ab bin Zubair. Selama 3 bulan dia tinggal bersama Mas'sb bin Zubair, Imam Syafie telah berjaya menghafal 10 000 rangkap syair dan berjaya mencipta syair yang hebat- hebat sehingga dikagumi semua orang. Tetapi Imam Syafie tidak memilih untuk menjadi seorng penyair kerana ibunya lebih menyukai dia menjadi seorang ulama kerana ia akan menjadikan seseorang itu zuhud tetapi jika menjadi seorang penyair, dia akan menjadi seorng yang sangat angkuh.


Semasa umurnya mencecah 15 tahun, Imam Syafie mengajar dan memberikan fatwa kepada orang ramai di Masjidil haram. Seseorng yang berumur 15 tahun dan boleh memberikan fatwa, dia merupakan seorang yang hebat. Ini kerana, dalam memberikan fatwa, seseorang itu perlu betul- betul faham tentang agama. Kalian semua boleh bayangkan apa yang kalian lakukan semasa berumur 15. 


Imam Syafie juga dapat menghafal dan memahami kitab al-Muwatta yang ditulis oleh Imam Malek dalam masa yang singkat. Kemudiannya, Imam Syafie juga dapat menghafal kitab al-Awsat yang ditulis Imam Abu Hanifah dalam masa 3 hari sahaja sedangkan orang lain mengambil masa satu tahun untuk menghafal kitab tersebut.


Imam Syafie tersangat mencintai ilmu sehinggakan dia telah bergerak  jauh meninggalkan Makkah hanya untuk menuntut ilmu. Pada usia yang sangat muda, dia telah berhijrah ke Madinah, Baghdad, Yaman dan  Mesir. Antara guru- guru imam Syafie ialah Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad al Hasan, Imam Abu Yusof dan ramai lagi. Kemana sahaja Imam Syafie pergi menuntut ilmu,dia pasti akan menjadi anak murid yang paling disayangi sehinggakan mereka tidak sanggup untuk melepaskan imam Syafie.


Dalam kisah hidup Imam Syafie juga, saya sangat tersentuh dengan sifatnya yang sangat menghormati ibunya dan dia pasti akan meminta kebenaran daripada ibunya terlebih dahulu dalam membuat keputusan. Dia juga berpegang kepada kata- kata gurunya,"Apa sahaja perkara yang ingin kamu lakukan perlu mendapat keredhaan daripada ibumu. Tanpa kerhedaan ibu, Allah swt juga tidak redha padamu." Dalam hidupnya, hanya sekali dia dimarahi ibunya itu pun kerana dia telah mengetuk pintu rumahnya terlalu kuat. Dia tidak sabar untuk berjumpa ibunya kerana telah lama keluar menuntut ilmu. Tetapi ibunya telah tersinggung dan memarahinya serta menyuruhnya pergi menuntut ilmu agama. Dia terus menangis dan memohon ampun kepada ibunya dan walaupun ibunya telah mengampunkan kesilapannya, dia masih lagi bersedih. Begitu taat dan sayangnya Imam Syafie kepada ibunya.


Imam Syafie meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 hijrah ketika berumur 54 tahun. Sebenarnya masih banyak keistimewaan Imam Syafie yang belum dapat saya ceritakan. Jika kalian semua ingin mengetahui lebih lanjut tentang imam Syafie, bolehlah mengeluarkan sedikit wang untuk membeli mana- mana buku berkaitan dengan Imam Syafie dan saya pasti kalian tidak rugu membelinya.


Sebelum saya berundur diri, disini ada beberapa pandangan daripada tokoh- tokoh yang sangat terkenal tentang Imam Syafie:




  • Imam Malik bin Anas berkata, " Tidak ada lagi keturunan Quraisy lebih pandai daripada Imam Syafie."
  • Imam Ahmad bin Hanbal berkata," Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie."
  • Imam Muhamad al-Hakam berkata, "Saya belum berjumpa dengan seorng yang lebih mengetahui cerdik akalnya, lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya, lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie."
  • Basyrat Muraisi seorang penkaji sejarah dan pengikutnya berkata,"Akal Imam Syafie menyamai akal separuh penduduk dunia. Beliau lebih suka membicarakan soal pokok daripada soal furuk."
Itu sahaja yang dapat saya ceritakan buat masa ini dan insyaallah saya akan ceritakan sedikit tentang bagaimana amalan ibunya sehinggakan dapat melahirkan seorang ulama yang hebat ini. Semoga apa yang kita baca ini dapat kita jadikan pengajaran kepada kita dan sampaikan kepada sahabat- sahabat yang lain.


Jazakallah...







No comments: