Nuffnang

Thursday, 12 April 2012

Sanggupkah kita melupakan insan yang bernama "IBU" ini?

Bismillahirahmanirahim....


Di zaman kanak-kanak, hubungan seorang anak dengan seorang ibu tersangat rapat. Mereka selalu menurut apa sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut ibu mereka. Mereka juga langsung tidak boleh berjauhan daripada ibu mereka. Linangan air mata pasti mengalir di pipi- pipi gebu mereka jika berjauhan walau seketika daripada ibu mereka. Jika diajukan soalan kepada mereka, "Siapakah orang paling mereka sayang di dunia ini?". Sudah pasti jawapannya "Ibu". Jika ditanya soalan "Apabila besar nanti, adik nak jaga ibu baik-baik tak?". Pasti dan pasti jawapan mereka adalah "Nak". Soalan- soalan berkaitan dengn ibu yang ditujukan kepada mereka pasti dibalas dengan jawapan-jawapan yang boleh menitiskan air mata si ibu kerana berasa sangat terharu dengan jawapan anak-anaknya itu.Jawapan- jawapan yang dibalas mereka bagaikan bapa mereka tidak wujud di dunia ini. Walhal bapa juga merupakan seorang yang sangat penting dalam membesarkan mereka.Tapi hati mereka hanya terpahat nama seorang "Ibu".Begitu sayangnya mereka kepada ibu mereka. 




Tetapi jawapan- jawapan dan janji- janji mereka dulu dilupakan begitu sahaja tahkala mereka semakin membesar. Kata-kata sahabat mereka lebih diutamakan dan kelakuan- kelakuan sahabat- sahabat mereka juga sangat mudah untuk mereka ikuti dan amalkan. Apabila mereka masuk ke alam universiti dan mereka sedang hangat bercinta dengan teman-teman istimewa mereka, janji-janji manis kepada ibu mereka dahalu semakin terhakis seperti mana ombak menghakis pasir- pasir di pantai. 

Kita sebagai seorang anak yang soleh dan solehah sepatutnya tidak boleh sama sekali melupakan ibu kita walau dalam apa jua keadaan mana sekalipun kerana bebanan mereka untuk membesarkan seorang anak lebih rumit daripada mengeringkan tujuh buah lautan yang luas. Disini saya ingin berkongsi sedikit tentang pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan seorang anak.

Saya baru beberapa minggu menjalani latihan praktikal di Hospital Sungai Buloh dan pada minggu kedua disini, saya bersama beberapa orang rakan telah ditempatkan di unit rehabilitasi kanak- kanak. Kebanyakan daripada mereka adalah kanak- kanak OKU. Seorang ibu telah datang bersama-sama dengan anaknya untuk menjalani rehabilitasi. Saya bertanyakan tentang perihal anaknya dan juga keluarganya untuk dibuat penilaian. Anaknya dilahirkan dalam keadaan normal dan pada usianya mencecah enam bulan, doktor telah mengesahkan terdapat nanah didalam otak anaknya dan tumbesaran anaknya akan sedikit terbantut kelak. Setelah pembedahan selesai, anaknya telah dimasukkan ke dalam wad selama 3 bulan. Ibunya terpaksa berhenti bekerja untuk menjaganya. 3 bulan berada di hospital bukan lah sepertimana  kita dapat melancong selama 3 bulan ke Paris, London, Moscow atau negara-negara eropah yang lain. 3 bulan berada di hospital merupakan sesuatu yang sangat memenat dan memeritkan. Tetapi, apabila seorang itu besar nanti, sanggupkah mereka meninggalkan kerja mereka selama 3 bulan demi menjaga ibu mereka? Atau sanggupkah mereka berhenti bekerja untuk menjaga ibu mereka? Bagi pandangan saya, 100% anak itu tidak sanggup untuk mengambil cuti selama 3 bulan atau berhenti bekerja demi ibu mereka. Atau tidak perlu kita pergi kepada 3 bulan, 1 hari cuti pun menjadi satu keberatan kepada mereka dan mereka merasakan bebanan itu terlalu besar sepertimana mereka sedang memikul Gunung Kinabalu di atas belakang mereka merentasi Laut China Selatan untuk diletakkan di Kota Bharu. Menangis seorang ibu jika mempunyai anak berperangai seperti itu.

Kemudian, di hari yang lain. Datang lagi seorang ibu membawa seorang anak. Anaknya menghidap "Angleman Syndrome" dan saiznya agak besar jika hendak dibandingkan dengan ibunya. Anak tidak dapat berjalan dan ibunya mengangkatnya seorang diri daripada kerusi roda ke lantai. Setelah seorang sahabat saya mengambil anaknya untuk menjalani proses rehabilitasi, ibunya terus mencari tempat bersandar kerana ibunya mempunyai sakit belakang yang kronik sejak menjaga anaknya ini. Tetapi sebelum dia melepaskan anaknya kepada kami, ibunya sempat memberi satu ciuman kepada anaknya dan dia terus pergi bersandar pada kerusi tadi. Mukanya sangat keletihan. Kemudiannya,saya memerhatikan sahabat saya membuat kerja dan saya dapat lihat kesulitan yang dialami oleh sahabat saya itu dalam memberikan rawatan kepada anaknya kerana saiznya yang agak besar dan kuat. Saya terpaku dan tersenyum melihat gelagat sahabat saya itu. 10 minit menjaga anaknya telah memberi kesulitan dan keletihan kepada sahabat saya itu. Bayangkan ibunya telah menjaganya selama 10 tahun. Tidak mustahil  lah ibunya telah mempunyai sakit belakang yang kronik dan berada dalam keadaan yang sangat keletihan. Ada satu perkara yang menyebabkan saya sangat kagum dengan. Dalam 1 jam proses rehabilitasi itu, saya dapat lihat ibunya selalu datang dan memberi ciuman kepada anaknya. Begitu sayangnya seorang ibu kepada anaknya walhal dia sendiri berada dalam keadaan yang amat keletihan. Sanggupkah kita melupakan kasih sayang yang telah diberikan oleh seorang ibu kepada kita?

Seorang lagi ibu datang membawa anaknya yang menghidap "Cerebral Palsy" bagi menjalini rehabilitasi di unit fisioterapi. Anaknya juga bersaiz agak besar dan tidak boleh berjalan sepertimana kanak- kanak normal tetapi anaknya agak aktif. Apabila anaknya itu terjatuh, ibunya terus datang untuk mengusap dan mengurut-urut tempat sakit anaknya itu.Walhal anaknya itu hanya terjatuh dari tempat yang sangat rendah dan di atas tilam yang lembut, tetapi ibunya datang untuk menenangkan anaknya itu. Sayang dan risaunya seorang ibu kepada anaknya. Adakah kita akan berbuat begitu kepada ibu kita kelak? Jika ibu kita datang kepada kita semasa kita sedang menonton televisyen untuk meminta sedikit pertolongan untuk memicit kakinya yang telah penat seharian bekerja, pasti jawapan yang datang daripada seorang anak adalah "kejap la mak,orang tengah tengok movie best ni...nanti habis orang picit la kaki mak..." Ibu akan berlalu pergi kerana tidak mahu mengganggu anaknya dan menunggu-nunggu kedatangan anaknya untuk memecit kakinya sehingga dia tertidur kepenatan tanpa menerima sedikit sentuhan daripada anaknya. 5 minit sahaja masa yang diperlukan untuk memicit kaki seorang ibu yang sedang kepenatan tetapi 5 minit itu dianggap sesuatu yang sangat besar bagi kita walhal cerita yang ditonton itu langsung tidak akan membantu kita diakhirat kelak. Sedangkan berkhidmat kepada seorang ibu boleh memberikan pahala yang sangat banyak dan jaminan syurga kepada seorang anak.

Sebenarnya banyak lagi kes yang ingin saya ceritakan tentang pengorbanan seorang ibu kepada anak-anaknya. Tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan dan mungkin saya akan menceritakan nanti. Yang pasti, kebanyakan daripada mereka mempunyai pekerjaan- pekerjaan yang hebat sebelum kelahiran anak- anak mereka itu tetapi mereka sanggup berhenti bekerja demi menjaga anak- anak mereka.

Sebagai seorang anak, kita jangan sesekali melupakan ibu kita dan selalu lah menjaga perhubungan kita dengan mereka. Satu titisan air mata ibu kerana derhaka seorang anak kepadanya boleh mendekatkan anaknya itu kepda neraka jahanam dan Rasullullah saw pernah bersabda:


"Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua ibubapa......"


Riwayat Al hakim

Ibu saya selalu berpesan kepada saya. "Bila kamu kahwin nanti, jangan sesekali kamu melupakan ibumu ini. Selalulah menelefon dan menjenguk ibu yang sudah tua ini kerana bilamana ibu ini sangat merindui kamu tetapi kamu tidak menghubungi ibu, kamu telah berdosa kepada ibuku."Saya pasti ibu sahabat-sahabat semua juga selalu berpesan sebagaimana ibu saya berpesan kepada saya. Seorang ibu selalu berpesan sebegitu kerana mereka tahu suatu hari nanti pengorbanan yang telah diberikan oleh mereka kepada kita selama ini akan kita lupakan. Saya sudahi entri ini dengn persoalan "Adakah duit kita lebih bernilai daripada seorang ibu?", "Adakah masa kita lebih bernilai daripada seorng ibu?" dan "Adakah tenaga kita lebih bernilai daripada seorng ibu?"...

Jazakallah...