Nuffnang

|home|

Saturday 28 July 2012

Pencinta Batu Permata...



Dalam hidup saya,
Saya mempunyai tersangat banyak batu permata yang bernilai dan cantik- cantik,



Kesemua batu permata itu saya simpan didalam sebuah kotak merah yang sangat mahal harganya,
Walaupun batu permata didalam simpanan saya sudah tersangat banyak,
Masih ramai lagi manusia yang datang dan ingin menghadiahkan batu permata yang cantik-cantik dan mahal- mahal kepada saya,
Namun begitu saya terpaksa menolaknya dengan baik kerana saya tahu saya tidak mampu untuk menjaga batu- batu permata yang banyak itu dengan baik,
Batu- batu permata yang ada didalam simpanan saya juga saya hadiahkan kepada orang yang memerlukannya,
Akhirnya hanya tinggal sebutir batu permata yang masih tinggal didalam simpanan saya,



Batu permata yang terakhir ini adalah batu permata yang paling cantik dan yang paling bernilai pernah saya simpan,
Kemudiannya saya simpan batu permata itu didalam sebuah kotak merah yang lebih kecil saiznya supaya saya dapat membawanya kemana sahaja saya pergi,



Dengan itu saya dapat pasti ia sentiasa berada dalam keadaan yang sangat selamat,
Saya juga sentiasa mengilapnya supaya ia akan kelihatan sentiasa cantik berkilauan,
Walaupun saya tahu batu permata ini tidak mampu mendengar dan tidak mampu untuk berkata apa- apa,
Jauh disudut hati ini, suatu hari nanti saya ingin batu permata ini tahu bahawa dia adalah batu permata yang paling saya sayang dan paling bernilai dalam hidup saya.



Friday 27 July 2012

Perginya dia untuk selamanya...

Bismillahirahmanirahim....

Awal pagi tadi, sedang saya berbaring di atas katil, saya terdengar suara ayah memanggil nama saya. Ihsan...Ihsan...Ihsan...Kemudian dia masuk ke dalam bilik saya. Muka dia pucat...Terkejut saya melihatnya kemudian saya bertanya,"Kenapa ayah?". Ayah menjawab,"Semasa pulang dari solat subuh tadi,ayah tergilis (Kecik) iaitu nama kucing kesayangan kami." Ayah berkata lagi,"Pergi la tengok, tadi dia tengah menggelupur kesakitan. Ayah tak sanggup melihatnya." Kemudian saya pun menjawab,"Ya Allah...saya lagi la tak sanggup ayah." Saya mengintai dari lubang tingkap bilik saya dan saya dapat lihat kucing itu tidak bergerak lagi. Saya terus bersandar pada dinding. Tak sanggup saya untuk melihatnya. Selepas hampir 5 minit termenung, saya memberanikan untuk pergi melihat kucing kesayangan kami dengan lebih dekat. Dari jauh ayah saya bertanya,"Macam mana keadaannya?Kepala pecah ke?" Kemudain saya menjawab,"A'ah, kepalanya pecah."

Saya terus mencari pengorek untuk menanam kucing kesayangan kami itu. Setelah siap manggali lubang, saya meletakkan bangkai kucing itu kedalam lubang tersebut. Saya memerhatikan kucing kesayangan kami buat kali terakhir sambil membelai- belai bulunya. Dalam hati ini terasa sangat sedih tetapi kesedihan itu sedikit terubat kerana sebelum kematiannya, saya betul- betul berkhidmat untuknya. Kucing saya ini sebenarnya sakit...Dia mengalami masalah paru- paru dan kedua- dua kakinya cedera teruk. Kakinya telah terkena jangkitan daripada kucing lain. Kakinya membusuk dan berlubang- lubang. Setiap hari saya mencuci lukanya dan kadang- kadang ada ulat yang melekat di kakinya dan saya lah juga yang membuang ulat- ulat itu daripada kakinya. Kemudian saya balut kakinya bagi menghindari lalat- lalat bertelur diatasnya. Makan minumnya juga saya jaga dengan baik. Lama saya termenung disitu...Kemudian ayah saya datang dan berkata,"Ihsan, kereta ayah tak dapat nak dihidupkan la...Mungkin dah terkena sumpahan daripada kucing tu." Saya tergelak kecil dan dalam hati saya,"adoi...ada lagi ke kepercayaan- kepercayaan macam ni." Tapi saya tahu, itu hanyalah gurauan daripada ayah saya.

Selepas saya selesai menimbus kucing tadi, saya masuk ke dalam balik. Saya berbaring dan hati saya berkata,"Ya Allah...beginikah rasanya kehilangan ahli keluarga?" Tetapi kehilangannya tidak terlalu dirasai kerana saya telah lakukan yang terbaik dan saya puas dengan usaha yang telah diberikan sebelum kematiannya. Kemudian hati saya berkata lagi,"Mungkin saya juga perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada ibubapa dan keluarga saya sebelum Allah swt mengambil mereka untuk selama- lamanya. Mungkin juga saya tidak akan terlalu bersedih kerana semasa meraka masih hidup, saya telah menjaga mereka dengan baik."



Dulu saya pernah pergi ke tanah perkuburan bersama dengan sahabat- sahabat saya. Ada satu jenazah telah selamat dikebumikan. Disebelah kubur tersebut, saya dapat lihat ada seorang lelaki sedang meronta- ronta sambil menangis dengan kuatnya. Saya bertanya kepada sahabat saya,"Mengapa dia jadi begitu?" Kemudian sahabat saya menjawab,"Dia itu merupakan anak tunggal kepada jenazah yang berada di dalam liang lahad itu. Dia telah lama keluar bekerja dibandar dan tidak pernah datang menjenguk ibunya. Walaupun ibunya sedang nazak, dia masih lagi tidak pulang kerumah untuk datang menjenguknya. Katanya, terlalu banyak kerja perlu diselesaikan. Apabila mengetahui ibunya sudah tiada, baru lah dia pulang ke kampung dan inilah kali pertama dia pulang ke kampung setelah 15 tahun bekerja dibandar." Subhanallah...Dalam hati," Sudah 15 tahun tidak pulang ke rumah?Habis tu siapa yang yang menjaga ibunya yang sudah tua itu?Patut la dia meronta- ronta sebegitu. Mungkin dia menyesal kerana tidak menjaga ibunya dengan baik semasa roh ibunya masih bercantum dengan jasadnya."

Selagi kita masih mempunyai kedua ibubapa, berkhidmat lah untuk mereka kerana khidmat mereka kepada kita langsung tiada tandingannya. Jika ibu meminta tolong memicit badannya yang lenguh- lenguh, segerakan...Jika ibu meminta untuk untuk menolongnya di dapur, segerakan...Jika ibu meminta untuk mengemas rumah, segerakan...Jika ibu merasa rindu kepada kita ketika kita berada jauh daripadanya, pulang lah dengan segera....Semua yang ibubapa minta, perlu kita segerakan selagi ia tidak melanggar hukum Allah swt kerana suatu hari nanti suara-suara ini tidak akan kita dengari lagi dan kita akan menangis merinduinya. Kesedihan akan lebih dirasai jika kita tidak menunaikan permintaan mereka dan selalu menderhakai mereka.

Jadi...Disini...Marilah sama- sama kita belajar untuk menjaga orang yang paling kita sayangi dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Moga suatu hari bilamana mereka sudah tiada nanti, kita masih boleh tersenyum kerana kita telah memberi perkhidmatan yang terbaik mereka.

Jazakallah...


Saturday 14 July 2012

Imam al- Syafie (part 1)

Bismillahirahmanirahim....

Sebenarnya hajat saya untuk berkongsi sedikit cerita berkaitan dengan seorang tokoh islam ini telah lama saya pendamkan. Hajat ini datang bilamana saya berada di satu majlis ilmu di sebuah masjid. Penceramah itu bercerita tentang seorang imam yang sangat hebat dan boleh dikatakan orang yang paling alim pada zamannya iaitu Imam al-Syafie. Kemudian penceramah itu bertanya kepada kami semua "Apakah nama sebenar Imam Syafie?". Semua yang ada dalam masjid itu terdiam. Kemudian penceramah itu berkata lagi,"Mana mungkin kamu tidak tahu nama sebenar pengasas mazhab Syafie sedangkan kalian semua menganuti mazhabnya. Tetapi jika saya bertanya "Siapakah artis paling cantik didunia? Siapakah pemenang anugerah oscar 2011?Siapakah pemain bola sepak bergaji paling tinggi didunia?" Sudah pasti kalian semua akan menjawab soalan saya tadi dengan betul dalam tempoh tidak lebih daripada 3 saat. Dalam hati saya,"Ouchhh...Pedihnya.....kemudian saya berfikir, tapi betul juga kata ustaz itu. Kenapa saya ini tidak mengenali nama Imam Syafie sedangkan saya menganuti mazhabnya."



Apabila pulang daripada ceramah itu, saya terus berazam untuk mengetahui segala perkara berkaitan dengn Imam al- Syafie. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris bin Abbas. Beliau dipanggil Syafie kerana wajahnya seiras wajah moyangnya yang bernama Syafie dan moyangnya itu mempunyai wajah yang seiras Nabi Muhammad saw. Salasilah keturunan ayah Imam Syafie sama dengan keluarga Nabi Muhammad saw. Imam Syafie telah dilahirkan oleh seorang ibu yang sangat solehah bernama Ummu Habibah al- Uzdiyyah di tanah Palestine.


Semasa Imam Syafie masih di dalam kandungan, ibunya telah bermimpi melihat sebutir bintang keluar daripada perutnya lalu is naik ke langit. Cahaya daripada bintang itu menjadikan bumi itu terang benderang. Suaminya juga bermimpi kejadian yang hampir sama dengan isterinya.  Satu orang alim telah berkata kepada kedua ibubapa Imam Syafie," Anak yang akan lahir daripada kandungan isteri kamu nanti akan menjadi seorang yang sangat berilmu dan ilmunya memenuhi seluruh muka bumi ini. Oleh itu, jaga dan didklah anak ini dengan baik."


Semasa zaman bayinya, ada beberapa perkara ganjil berlaku antaranya pada siang hari di bulan Ramadhan anak kecil ini tidak mahu menyusu. Dia seolah- olah turut berpuasa dan menghormati ibubapanya yang sedang melakukan ibadah puasa. Apbila ibunya sedang membaca al-Quran,dia akan berdiam diri seolah- olah dia sedang mendengar ayat- ayat suci itu.


Ayahnya meninggal dunia di Palestine semasa umurnya baru sahaja mencecah 2 tahun dan selepas itu dia dibawa ibunya untuk berpindah ke Makkah.  Imam Syafie banyak belajar al-Quran dengan ibunya. Mereka hidup dalam penuh kemiskinan sehinggakan dia tidak mampu pergi ke kelas- kelas pengajian. Selepas umurnya sedikit meningkat, setiap malam dia  akan menghadiri majlis ilmu percuma di Masjidil Haram. Selepas itu, dia menuntut ilmu dengn Imam Ismail Kustantani. Pada awalnya, Imam Kustantani tidak mahu menerimanya kerana umurnya yang masih terlalu muda iaitu 9 tahun sedangkan umur minimum untuk mengikuti kelas pengajiannya ialah 12 tahun. Tetapi setelah dia menguji imam Syafie dengan ayat- ayat al-Quran dan imam Syafie dapat membacanya dengn baik dan sangat lunak bacaannya, die berasa kagum dengan imam Syafie dan terus menerimanya sebagai anak murid. Imam Kustantani berkata kepada imam Syafie,"kelak kamu akan menjadi seorang ulama." Imam Kustantani mempunyai sangat ramai anak murid dan jika dia mempunyai tugasan luar, dia akan menyuruh Imam Syafie menggantikan tempatnya sebagai guru. Subhanallah...Sangat hebat bukan???Cuba kita renung kembali,apa yang kita lakukan semasa kita berumur 9 tahun. Saya pada masa itu setiap petang pasti akan berada di padang bermain bola sepak, menangkap burung di hutan, mandi-manda di sungai dan macam- macam lagi sedangkan Imam Syafie sudah menjadi seorang guru al-Quran yang sangat hebat.


Kemudiannya dia telah pergi belajar bersyair dengan seorang penyair yang hebat iaitu Mas'ab bin Zubair. Selama 3 bulan dia tinggal bersama Mas'sb bin Zubair, Imam Syafie telah berjaya menghafal 10 000 rangkap syair dan berjaya mencipta syair yang hebat- hebat sehingga dikagumi semua orang. Tetapi Imam Syafie tidak memilih untuk menjadi seorng penyair kerana ibunya lebih menyukai dia menjadi seorang ulama kerana ia akan menjadikan seseorang itu zuhud tetapi jika menjadi seorang penyair, dia akan menjadi seorng yang sangat angkuh.


Semasa umurnya mencecah 15 tahun, Imam Syafie mengajar dan memberikan fatwa kepada orang ramai di Masjidil haram. Seseorng yang berumur 15 tahun dan boleh memberikan fatwa, dia merupakan seorang yang hebat. Ini kerana, dalam memberikan fatwa, seseorang itu perlu betul- betul faham tentang agama. Kalian semua boleh bayangkan apa yang kalian lakukan semasa berumur 15. 


Imam Syafie juga dapat menghafal dan memahami kitab al-Muwatta yang ditulis oleh Imam Malek dalam masa yang singkat. Kemudiannya, Imam Syafie juga dapat menghafal kitab al-Awsat yang ditulis Imam Abu Hanifah dalam masa 3 hari sahaja sedangkan orang lain mengambil masa satu tahun untuk menghafal kitab tersebut.


Imam Syafie tersangat mencintai ilmu sehinggakan dia telah bergerak  jauh meninggalkan Makkah hanya untuk menuntut ilmu. Pada usia yang sangat muda, dia telah berhijrah ke Madinah, Baghdad, Yaman dan  Mesir. Antara guru- guru imam Syafie ialah Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad al Hasan, Imam Abu Yusof dan ramai lagi. Kemana sahaja Imam Syafie pergi menuntut ilmu,dia pasti akan menjadi anak murid yang paling disayangi sehinggakan mereka tidak sanggup untuk melepaskan imam Syafie.


Dalam kisah hidup Imam Syafie juga, saya sangat tersentuh dengan sifatnya yang sangat menghormati ibunya dan dia pasti akan meminta kebenaran daripada ibunya terlebih dahulu dalam membuat keputusan. Dia juga berpegang kepada kata- kata gurunya,"Apa sahaja perkara yang ingin kamu lakukan perlu mendapat keredhaan daripada ibumu. Tanpa kerhedaan ibu, Allah swt juga tidak redha padamu." Dalam hidupnya, hanya sekali dia dimarahi ibunya itu pun kerana dia telah mengetuk pintu rumahnya terlalu kuat. Dia tidak sabar untuk berjumpa ibunya kerana telah lama keluar menuntut ilmu. Tetapi ibunya telah tersinggung dan memarahinya serta menyuruhnya pergi menuntut ilmu agama. Dia terus menangis dan memohon ampun kepada ibunya dan walaupun ibunya telah mengampunkan kesilapannya, dia masih lagi bersedih. Begitu taat dan sayangnya Imam Syafie kepada ibunya.


Imam Syafie meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 hijrah ketika berumur 54 tahun. Sebenarnya masih banyak keistimewaan Imam Syafie yang belum dapat saya ceritakan. Jika kalian semua ingin mengetahui lebih lanjut tentang imam Syafie, bolehlah mengeluarkan sedikit wang untuk membeli mana- mana buku berkaitan dengan Imam Syafie dan saya pasti kalian tidak rugu membelinya.


Sebelum saya berundur diri, disini ada beberapa pandangan daripada tokoh- tokoh yang sangat terkenal tentang Imam Syafie:




  • Imam Malik bin Anas berkata, " Tidak ada lagi keturunan Quraisy lebih pandai daripada Imam Syafie."
  • Imam Ahmad bin Hanbal berkata," Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie."
  • Imam Muhamad al-Hakam berkata, "Saya belum berjumpa dengan seorng yang lebih mengetahui cerdik akalnya, lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya, lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie."
  • Basyrat Muraisi seorang penkaji sejarah dan pengikutnya berkata,"Akal Imam Syafie menyamai akal separuh penduduk dunia. Beliau lebih suka membicarakan soal pokok daripada soal furuk."
Itu sahaja yang dapat saya ceritakan buat masa ini dan insyaallah saya akan ceritakan sedikit tentang bagaimana amalan ibunya sehinggakan dapat melahirkan seorang ulama yang hebat ini. Semoga apa yang kita baca ini dapat kita jadikan pengajaran kepada kita dan sampaikan kepada sahabat- sahabat yang lain.


Jazakallah...