Nuffnang

Wednesday, 14 March 2012

Apabila seseorang itu sudah jatuh cinta...

Bismillahirahmanirahim.... 

Dalam dunia hari ini, pelbagai bencana telah diturunkan oleh Allah swt kepada hamba- hambanya. Tsunami telah menelan ratusan ribu penduduk di Jepun dan Indonesia, ribut taufan telah membunuh beribu- ribu orang di Amerika, banjir besar telah meragut berpuluh ribu penduduk di negara China, cuaca sejuk yang melampau telah membekukan beribu- ribu penduduk eropah dan banyak lagi bencana yang telah diturunkan oleh Allah swt. Tetapi kita tidak tahu apakah maksud tersirat berlakunya bencana- bencana seperti ini dan kita hanya memikirkan cara bagaimanakah cara untuk mencari dan menyelamat mangsa- mangsa bencana tersebut.

Sedarkah kita bahawa Allah swt menurunkan bencana- bencana ini kerana manusia pada zaman ini telah lalai dan sangat jauh daripada mengingati Allah swt. Manusia tidak mengendahkan lagi segala suruhan Allah swt dan dengan tanpa segan silu melanggar larangan Allah swt. Antara suruhan Allah swt yang paling besar adalah solat. Kita tidak perlu pergi jauh, cuba kita lihat kepada orang- orang paling dekat dengan kita. Sebagai contoh, ibu bapa, adik beradik atau sahabat- sahabat baik kita. Adakah mereka bersolat? Jika mereka bersolat, Alhamdulillah...




Pada zaman ini, solat telah diabaikan dan dilalaikan oleh sesetengah umat islam. Sedangkan solat merupakan suatu ibadat yang terpenting dan disepakati oleh seluruh ulama bahawa selepas iman, solah merupakan amalan yang lebih afdal daripada seluruh ibadat- ibadat fardhu yang lain dan solat juga merupakan amalan yang pertama akan disoal diakhirat nanti. Yang menyedihkan lagi tiada satu suara pun yang kedengaran untuk menarik perhatian umat kepada agama. Sebenarnya solat merupakan suatu amalan yang terbaik dan paling dikasihi Rasulullah saw. Rasulullah saw menyatakan bahawa solat adalah penyejuk mata baginda. Manusia pada hari ini tidak sedar betapa nikmatnya setiap solah yang dapat ditunaikan.
  • Hazrat 'Abdullah bin Mas'ud Radiallahu Anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda, "Daripada segala amalan, solahlah yang paling aku kasihi"
Dalam satu satu rakaat solat, Rasulullah telah menghabiskan berjuzuk- juzuk al-Quran. Tambahan pula ayat- ayat tersebut dibaca satu persatu dengan tajwid dan tenang. Dalam keadaan begini, bayangkanlah betapa panjangnya setiap satu rakaat yang ditunaikan oleh Rasulullah saw. Inilah sebabnya kaki baginda saw menjadi bengkak. Sesungguhnya apabila kelazatan sesuatu perkara telah masuk ke dalam hati seseorang maka dia tidak lagi berasa kesusahan dan kepayahan dalam mengerjakan ssuatu perkara itu. Mungkin ada antara kita yang berkata,itu Rasulullah saw...memang la dia suka bersolat...Sebenarnya ramai lagi sahabat- sahabat Rasulullah yang sangat mencintai solat dan jika kita diberi peluang untuk melihat mereka bersolat, pasti kita akan berasa kita orang yang sangat- sangat jahil. 

Malah pada zaman kerosakan umat ini juga, masih terdapat hamba- hamba Allah swt yang mengahabiskan sebahagian malam mereka bersolah, sementara itu di siang hari mereka sibuk berdakwah dan mengajar ilmu agama. Maulana Abdul Wahid Lahori rah. adalah seorang murid kepada Hazrat Mujaddid Al- Fathani rah. Suatu hari beliau berkata" Apakah tidak ada solat lagi di dalam syurga" Seorang lagi bertanya kepadanya "Mengapa pula perlu bersolat di dalam Syurga? Syurga adalah tempat menerima balasan, bukan tempat beramal." Kemuadian Maulana Abdul Wahid Lahori rah. pun mengeluh panjang dan menangis serta berkata, "Bagaimana daku boleh menikmati kehidupan di Syurga tanpa solat?"  

Syeikh Abdul Wahid rah. merupakan salah seorang ahli sufi yang masyur. Beliau menceritakan," Pada satu malam aku sangat mengantuk sehingga tertidur sebelum sempat menghabiskan wirid dan zikirnya. Aku melihat dalam mimpiku seorang gadis yang cantik berpakaian sutera hijau. Seluruh anggota badannya sibuk berzikir." Kemudian gadis itu berkata kepadanya, "Berusahalah untuk mendapatkan saya. Saya ingin mendapatkan engkau." Kemudain gadis itu membaca beberapa rangkap syair percintaan. Setelah tersedar daripad mimpi, beliau bersumpah tidak akan tidur malam lagi. Diriwayatkan bahawa selama 40 tahun beliau bersolat isyak dan subuh dengan wuduk yang sama.


Hazrat Thabit Banani rah. ialah seornag hafiz hadith. Beliau sering menangis dihadapan Allah swt. Seorang berkata kepadanya mata beliau akan buta. Beliau menjawab, "Apakah faedahnya mata yang tidak menangis?" Beliau sering berdoa, "Ya Allah, izinkan saya bersolat di dalam kubur, sekiranya engkau mengizinkan solat di dalam kubur kepada mana- mana hambamu." Maka Abu Sinan rah. berkata, "Demi Allah, saya adalah antara orang yang telah mengebumikan mayat Hazrat Thabit Banani rah. Semasa mengebumikan mayat beliau, seketul batu daripada sebelah dinding kubur telah terjatuh dan saya dapat melihat beliau sedang bersolat. Selepas pengebumiannya, kami ke rumah beliau dan bertanya kepada anak perempuannya apakah amalan ayahnya itu. Maka anak perempuannya menjawab,"Selama 50 beliau berjaga sepanjang malam dengan beribadat dan pada setiap subuh beliau berdoa,"Ya Allah,izinkan saya bersolat di dalam kubur, sekiranya engkau mengizinkan solat di dalam kubur kepada mana- mana hambamu."

Dalam kisah yang lain, Hazrat Imam Ahmad bin Hanbal rah. adalah salah seorang imam fikah yang masyhur. Walaupun seharian sibuk dengan masalah- masalah fikah, namun dalam sehari semalam beliau bersolah sebanyak 300 rakaat. 

Imam Abu Yusuf rah. juga adalah seorang yang masyhur. Beliau merupakan kadi besar yang menyebabkan beliau sibuk dengan urusan mahkamah. Walaupun demikian, beliau masih mampu bersolah 200 rakaat solat sunat setiap hari.

Manakala Hazrat Baqi bin Mukhallad rah. pula dikatakan dapat menghabiskan seluruh al-Quran setiap malam dalam 13 rakaat solah tahjud dan witirnya. Begitu cintanya mereka semua kepada solat. Adakah kita mempunyai tahap kecintaan solat setanding dengan mereka? Sebenarnya ada banyak lagi cerita tentang manusia- manusia di akhir zaman yang mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap solat. Jika diberi masa, saya akan bercerita lagi tentang manusia- manusia hebat ini.


Dengan adanya manusia- manusia seperti inilah menyebabkan dunia ini terus kekal. Manusia- manusia seperti telah mengambil sepenuh manfaat daripada kehidupan dunia ini. Tidak mustahil kita juga dikurniakan dengan kesibukan beramal ibadat menerusi kerahiman Allah swt yang maha luas dan dengan berkat mereka yang telah bersungguh- sungguh dalam melaksanakan perintah- perintah Allah swt.

Jadi disini, kita cubalah untuk tidak meninggalkan solat fardhu. solat fardhu merupakan asas kepada segalanya dan solat yang paling lemah boleh menjauhkan kita daripada perkara- perkara mungkar. Apabila kita tidak melakukan perkara- perkara mungkin, nescaya kita akan mendapat kasih sayang daripada Allah swt dan apabila Allah swt kasih kepada kita, insyaAllah ia dapat menghindari turunnya bencana- bencana yang telah mengorbankan jutaan penduduk dunia. Bilamana kita sudah istiqamah degan solat fardhu,kemudiannya kita boleh belajar- belajar untuk melakukan solat- solat sunat. Solat- solat sunat ini boleh menampal kekurangan- kekurangan yang ada pada solat fardhu kita.

Jika kita tidak mencintai suruhan Allah swt ini, kita sepatutnya berasa malu untuk bercinta dengan lelaki- lelaki atau wanita- wanita dunia. Kita juga jangan sesekali memberi alasan "tidak cukup masa untuk bersolat" yang hanya mengabil masa 5- 10 minit sedangkan kita boleh meluangkan berjam- jam lamanya dengan melayan mainan dunia (facebook, twitter, menonton tv, berbual- bual kosong dan banyak lagi). Jadi, bersolat lah dan saya sudahi penulisan ini dengan salah satu hadis Rasulullah saw.  

  • Hazrat Abu Darda Ra. berkata, "kekasihku Rasulullah saw tekah mewasiatkan kepada saya bahawa jangan sesekali anda menyekutukan Allah swt dengan sesuatu apa pun, walaupun kamu dicincan atau dibakar. Jangan tinggalkan solat dengan sengaja maka Allah swt tidak bertanggung jawab terhadapnya. Jangan minum arak kerana perbuatan ini adalah kunci kepada segala kejahatan."

Jazakallah...









2 comments:

Juwita Afifah said...

Tertarik dgn ayat ni.

Jika kita tidak mencintai suruhan Allah swt ini, kita sepatutnya berasa malu untuk bercinta dengan lelaki- lelaki atau wanita- wanita dunia. 

Semoga kita sentiasa istiqamah dalam beribadat. InsyaAllah.

ihsan said...

umh...amin....=)